International C-PROM 2022 merupakan kesinambungan pertandingan yang dianjurkan secara tahunan oleh Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM Cawangan Perlis. Bagi tahun 2022, pertandingan ini telah diadakan pada 27hb September 2022, di mana Majlis Perasmian dan Penutup telah disiarkan secara langsung dari Studio Layar Hijau, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Perlis (SSTP) melalui youtube channel SSTP dan Cisco Webex.
Sejajar dengan matlamat UiTM untuk menjadi sebuah universiti terkemuka dunia, pelbagai aktiviti yang dapat memberi impak positif dan melibatkan pelajar dari dalam dan luar negara perlu dijalankan. Oleh itu, tujuan utama program ini diadakan ialah untuk menjadi platform bagi pelajar dari pelbagai universiti dan institut pengajian tinggi dari dalam dan luar negara menonjolkan bakat dan bersaing dalam bidang pengaturcaraan dan multimedia. Pengalaman menyertai pertandingan seperti ini juga dapat membantu para peserta dalam memahami kehendak pasaran bagi mengkomersialkan hasil multimedia mereka pada masa hadapan berdasarkan komen-komen daripada juri-juri professional.
Bagi tujuan memberi bimbingan kepada para peserta sepanjang tempoh pertandingan, dua bengkel telah diadakan iaitu Bengkel Programming dan Bengkel Multimedia. Impak positif program ini tidak hanya terhad kepada pelajar IPT, malah pelajar sekolah juga boleh mendapat manfaat dengan menyertai program bengkel yang diadakan. Bagi tahun ini, sebanyak 7 buah sekolah telah menghantar wakil-wakil pelajar mereka untuk menyertai Bengkel Multimedia.